Semekar Mawar Semesra Kasih

MAJLIS SEMEKAR MAWAR SEMESRA KASIH

Pada 17hb Jun 2010 yang lepas bertempat di Perpustakaan, Mahkamah Negeri Melaka, suatu majlis keraian yang diberi nama Semekar Mawar Semesra Kasih telah diadakan dengan kehadiran hampir kesemua pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di negeri Melaka termasuk dari daerah Alor Gajah dan Jasin. Majlis tersebut diadakan dengan 2 tujuan iaitu bagi meraikan kenaikan pangkat 2 orang pegawai yang berkhidmat di mahkamah Melaka di samping mengalu-alukan kedatangan Pengarah baru di Kompleks Mahkamah Melaka.

2 orang pegawai yang akan bertukar atas kenaikan pangkat ialah mantan Pengarah Mahkamah Negeri Melaka iaitu Puan Al-Baishah bte Abd Manan yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pendaftar di Istana kehakiman, Putrajaya dan juga Tuan Muhamad Faizal bin Ismail selaku Majistret Mahkamah Melaka yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Muar, Johor. Pada masa yang sama, majlis turut diadakan bagi mengalu-alukan kedatangan Pengarah Mahkamah Negeri Melaka yang baru iaitu Tuan Abu Bakar bin Katar yang bertugas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Bagi tidak menggangu perjalanan kes-kes di mahkamah, majlis hanya dimulakan pada jam 1.00 tengah hari dengan bacaan doa oleh Tuan Mohd. Fairuz bin Johari. Turut menyerikan majlis tersebut ialah kehadiran Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Negeri Melaka, Yang Arif Datuk Halijah binti Abbas selaku tetamu jemputan kehormat. Majlis kemudiannya di teruskan dengan ucapan oleh pegawai-pegawai kehakiman yang diraikan sebelum sesi penyampaian cenderamata oleh Yang Arif Datuk Halijah binti Abbas.

Kesemua pegawai dan kakitangan mahkamah kemudiannya dijemput untuk menjamu selera menikmati hidangan tengah hari yang amat menyelerakan sebelum majlis bersurai pada jam 2.00 petang.

Total visitors to the Portal : 116,279
Last updated : 21 November 2017