Warna Tema    
Saiz Tulisan -A A +A
 

Kompleks Mahkamah Melaka

Kompleks Mahkamah Melaka yang baru dan tersergam indah ini terletak di kawasan Lot 2434, Lebuh Ayer Keroh. Kawasan mahkamah ini berkeluasan 4.4 ekar dan terletak kira-kira 10 km dari Bandaraya Melaka. 

Projek pembinaan bangunan ini bermula pada 7 Januari 1994 dan disiapkan pada 15 September 1995. Bangunan yang mempunyai 4 blok ini merangkumi keluasan 132,598 kaki persegi dan pembinaannya telah menelan belanja sebanyak RM21.04 juta.

Rekabentuk Kompleks yang unik dan tersendiri adalah hasil ciptaan Arkitek dari Ikatan Cipta Bina. Walaupun projek pembinaannya hanya bermula pada tahun 1994, perancangan bagi projek ini telah mula seawall pada tahun 1988 apabila perunding projek dilantik. Pelaksanaan kerja tanah pula bermula pada tarikh penyerahan tapak iaitu pada 14 Mac 1991 dan disiapkan pada 30 Januari 1992.

Setelah bangunan Kompleks Mahkamah disiapkan, kerja pemindahan dari bangunan mahkamah di Banda Hilir telah dilakukan secara berperingkat sehingga keseluruhan bangunan dipenuhi. Kompleks Mahkamah Melaka mempunyai tiga tingkat iaitu Tingkat Bawah, Tingkat1 dan Tingkat 2.

Kompleks Mahkamah Melaka ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin pada 26 Oktober 1996. 

Kompleks ini terbahagi kepada 4 Blok iaitu Blok A, B, C dan D. Sejak Mahkamah Melaka beroperasi di Kompleks baru ini pada tahun 1996, Mahkamah hanya menggunakan Blok A, B dan C. Pada tahun 2002, Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah beroperasi di Blok D sehingga pada 1 Februari 2013, Mahkamah Syariah telah berpindah ke Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang baru di Jalan Lama Ayer Keroh dan menyerahkan semula Blok D kepada Mahkamah Sivil pada tahun 2015.

Sejak Mahkamah Negeri Melaka mengambilalih sepenuhnya Kompleks Mahkamah Melaka, pelbagai penambahabaikan dan pembinaan telah dilaksanakan. Kini, Kompleks ini mempunyai 2 Bilik Bicara Mahkamah Tinggi, 3 Bilik Bicara Mahkamah Sesyen dan 4 Bilik Bicara Mahkamah Majistret. Selain daripada itu, terdapat Pejabat Pendaftaran bagi setiap mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret. 

Kompleks ini juga menempatkan 1 Bilik Peguam, 1 Bilik Timbalan Pendakwaraya, 1 Bilik Mesyuarat, 1 Auditorium dan Bilik Seminar yang dibina pada tahun 2015, Pusat Mediasi Mahkamah Melaka yang dibina pada tahun 2018, 1 Perpustakaan dan 1 kafeteria.

Pada tahun 2019, Mahkamah Melaka turut menyediakan sebuah Bilik Penyusuan Ibu di Blok D bagi menyediakan satu suasana yang lebih selesa dan sesuai kepada para ibu yang berurusan di Mahkamah seperti peguam, orang awam dan juga kakitangan Mahkamah Melaka. Penyediaan fasiliti ini sudah pastinya dapat memberi sokongan kepada mereka semasa menjalankan tugas kerja harian dan pada masa yang sama melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Kompleks Mahkamah ini menjadi pusat semua mahkamah di negeri ini serta memberi kemudahan kepada para peguam dan litigan untuk menjalankan urusan kehakiman mereka.

img

 

img

Gambar Mahkamah Melaka Baru