Skip to main content
Please wait...

Tiada pengumuman buat masa sekarang

Sejarah Mahkamah Melaka

Pengenalan 

Mahkamah-mahkamah sivil di Malaysia secara umumnya dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut undang-undang penubuhannya. Misalnya, Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan kepada penubuhan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, manakala Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pula memperuntukkan kepada penubuhan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Pembahagian Mahkamah sebegini adalah berdasarkan kepada bidangkuasa masing-masing yang berbeza.

 

Mahkamah-Mahkamah di Negeri Melaka

Di Negeri Melaka, secara amnya terdapat tiga buah bangunan utama Mahkamah iaitu Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, Kompleks Mahkamah Alor Gajah dan Mahkamah Majistret Jasin.

 

Di Kompleks Mahkamah Melaka, terdapat 2 buah Mahkamah Tinggi yang mendengar kes-kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, 3 buah Mahkamah Sesyen dan 4 buah Mahkamah Majistret yang mendengar kes-kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah dan terjatuh di daerah Melaka Tengah. 

 

Di Kompleks Mahkamah Alor Gajah, terdapat sebuah Mahkamah Sesyen dan sebuah Mahkamah Majistret. Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah turut bersidang di Mahkamah PATI di Depo Machap Umboo. 

 

Di Mahkamah Majistret Jasin pula, terdapat sebuah Mahkamah Majistret yang mendengar kes-kes bidang kuasa Majistret yang jatuh di bidang kuasa daerah Jasin. 

 

Sejarah Mahkamah Negeri Melaka

Bangunan Mahkamah yang lama terletak di kaki Bukit St Paul, Banda Hilir, Melaka. Bangunan ini merupakan sebuah bangunan sekolah yang dibina sekitar tahun 1884, iaitu Malacca Free School yang kemudiannya dinamakan seabgai Malacca High School. Mahkamah telah mula menduduki bangunan itu dalam tahun 1931 apabila Malacca High School berpindah ke bangunan baru di Jalan Chan Koon Cheng, Banda Hilir. Mahkamah Melaka telah beroperasi di bangunan lama ini selama 65 tahun sejak tahun 1931 iaitu sehingga tahun 1995 apabila Kompleks Mahkamah Melaka telah siap dibina pada tahun 1995. 

 

Semasa beroperasi di bangunan ini, terdapat 1 Mahkamah Tinggi, 2 Mahkamah Sesyen dan 2 Mahkamah Majistret. Alamat bangunan lama tersebut ialah Peti Box 80, Jalan Banda Kaba.

 

Kini, bangunan tersebut telah diisytiharkan sebagai Bangunan Warisan Sejarah Negeri Melaka dan telah diwartakan di bawah Enakmen Pemeliharaan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka Tahun 1988.

 

img

img

Gambar Mahkamah Melaka Lama

Kompleks Mahkamah Melaka

Kompleks Mahkamah Melaka yang baru dan tersergam indah ini terletak di kawasan Lot 2434, Lebuh Ayer Keroh. Kawasan mahkamah ini berkeluasan 4.4 ekar dan terletak kira-kira 10 km dari Bandaraya Melaka. 

 

Projek pembinaan bangunan ini bermula pada 7 Januari 1994 dan disiapkan pada 15 September 1995. Bangunan yang mempunyai 4 blok ini merangkumi keluasan 132,598 kaki persegi dan pembinaannya telah menelan belanja sebanyak RM21.04 juta.

 

Rekabentuk Kompleks yang unik dan tersendiri adalah hasil ciptaan Arkitek dari Ikatan Cipta Bina. Walaupun projek pembinaannya hanya bermula pada tahun 1994, perancangan bagi projek ini telah mula seawall pada tahun 1988 apabila perunding projek dilantik. Pelaksanaan kerja tanah pula bermula pada tarikh penyerahan tapak iaitu pada 14 Mac 1991 dan disiapkan pada 30 Januari 1992.

 

Setelah bangunan Kompleks Mahkamah disiapkan, kerja pemindahan dari bangunan mahkamah di Banda Hilir telah dilakukan secara berperingkat sehingga keseluruhan bangunan dipenuhi. Kompleks Mahkamah Melaka mempunyai tiga tingkat iaitu Tingkat Bawah, Tingkat1 dan Tingkat 2.

 

Kompleks Mahkamah Melaka ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin pada 26 Oktober 1996. 

 

Kompleks ini terbahagi kepada 4 Blok iaitu Blok A, B, C dan D. Sejak Mahkamah Melaka beroperasi di Kompleks baru ini pada tahun 1996, Mahkamah hanya menggunakan Blok A, B dan C. Pada tahun 2002, Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah beroperasi di Blok D sehingga pada 1 Februari 2013, Mahkamah Syariah telah berpindah ke Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang baru di Jalan Lama Ayer Keroh dan menyerahkan semula Blok D kepada Mahkamah Sivil pada tahun 2015.

 

Sejak Mahkamah Negeri Melaka mengambilalih sepenuhnya Kompleks Mahkamah Melaka, pelbagai penambahabaikan dan pembinaan telah dilaksanakan. Kini, Kompleks ini mempunyai 2 Bilik Bicara Mahkamah Tinggi, 3 Bilik Bicara Mahkamah Sesyen dan 4 Bilik Bicara Mahkamah Majistret. Selain daripada itu, terdapat Pejabat Pendaftaran bagi setiap mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret. 

 

Kompleks ini juga menempatkan 1 Bilik Peguam, 1 Bilik Timbalan Pendakwaraya, 1 Bilik Mesyuarat, 1 Auditorium dan Bilik Seminar yang dibina pada tahun 2015, Pusat Mediasi Mahkamah Melaka yang dibina pada tahun 2018, 1 Perpustakaan dan 1 kafeteria.

 

Pada tahun 2019, Mahkamah Melaka turut menyediakan sebuah Bilik Penyusuan Ibu di Blok D bagi menyediakan satu suasana yang lebih selesa dan sesuai kepada para ibu yang berurusan di Mahkamah seperti peguam, orang awam dan juga kakitangan Mahkamah Melaka. Penyediaan fasiliti ini sudah pastinya dapat memberi sokongan kepada mereka semasa menjalankan tugas kerja harian dan pada masa yang sama melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

 

Kompleks Mahkamah ini menjadi pusat semua mahkamah di negeri ini serta memberi kemudahan kepada para peguam dan litigan untuk menjalankan urusan kehakiman mereka.

 

img

img

Gambar Mahkamah Melaka Baru

Kompleks Mahkamah Sesyen Alor Gajah menempatkan 1 Mahkamah Sesyen dan 1 Mahkamah Majistret. 

 

Dahulunya, di daerah Alor Gajah hanya terdapat 1 Mahkamah Majistret yang bertempat di Jalan Mahkamah Alor Gajah yang berdekatan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah. Namun, bangunan tersebut telah tidak digunakan lagi setelah Kompleks Mahkamah Sesyen Alor Gajah yang baru dibinakan.

 

Pada tahun 2013, apabila Kompleks Mahkamah Sesyen ALor Gajah telah disiapkan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah memutuskan untuk membuka 1 Mahkamah Sesyen Alor Gajah yang turut menjalankan tugas sebagai Mahkamah PATI Machap Umbo.

 

img

Gambar Mahkamah Alor Gajah Lama

img

img

Gambar Mahkamah Alor Gajah Baru

 

Di daerah Jasin, terdapat sebuah Mahkamah Majistret. Mahkamah Majistret Jasin telah mula beroperasi di bangunan ini sejak tahun 1970an. Mahkamah Jasin telah dirasmikan oleh TYT Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan pada 23 Oktober 1978.

 

img