Warna Tema    
Saiz Tulisan -A A +A
 

Pengenalan 

Mahkamah-mahkamah sivil di Malaysia secara umumnya dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut undang-undang penubuhannya. Misalnya, Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan kepada penubuhan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, manakala Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pula memperuntukkan kepada penubuhan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Pembahagian Mahkamah sebegini adalah berdasarkan kepada bidangkuasa masing-masing yang berbeza.

Mahkamah-Mahkamah di Negeri Melaka

Di Negeri Melaka, secara amnya terdapat tiga buah bangunan utama Mahkamah iaitu Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, Kompleks Mahkamah Alor Gajah dan Mahkamah Majistret Jasin.

Di Kompleks Mahkamah Melaka, terdapat 2 buah Mahkamah Tinggi yang mendengar kes-kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, 3 buah Mahkamah Sesyen dan 4 buah Mahkamah Majistret yang mendengar kes-kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah dan terjatuh di daerah Melaka Tengah. 

Di Kompleks Mahkamah Alor Gajah, terdapat sebuah Mahkamah Sesyen dan sebuah Mahkamah Majistret. Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah turut bersidang di Mahkamah PATI di Depo Machap Umboo. 

Di Mahkamah Majistret Jasin pula, terdapat sebuah Mahkamah Majistret yang mendengar kes-kes bidang kuasa Majistret yang jatuh di bidang kuasa daerah Jasin. 

Sejarah Mahkamah Negeri Melaka

Bangunan Mahkamah yang lama terletak di kaki Bukit St Paul, Banda Hilir, Melaka. Bangunan ini merupakan sebuah bangunan sekolah yang dibina sekitar tahun 1884, iaitu Malacca Free School yang kemudiannya dinamakan seabgai Malacca High School. Mahkamah telah mula menduduki bangunan itu dalam tahun 1931 apabila Malacca High School berpindah ke bangunan baru di Jalan Chan Koon Cheng, Banda Hilir. Mahkamah Melaka telah beroperasi di bangunan lama ini selama 65 tahun sejak tahun 1931 iaitu sehingga tahun 1995 apabila Kompleks Mahkamah Melaka telah siap dibina pada tahun 1995. 

Semasa beroperasi di bangunan ini, terdapat 1 Mahkamah Tinggi, 2 Mahkamah Sesyen dan 2 Mahkamah Majistret. Alamat bangunan lama tersebut ialah Peti Box 80, Jalan Banda Kaba.

Kini, bangunan tersebut telah diisytiharkan sebagai Bangunan Warisan Sejarah Negeri Melaka dan telah diwartakan di bawah Enakmen Pemeliharaan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka Tahun 1988.

img

 

img

Gambar Mahkamah Melaka Lama

Halaman 1 dari 3